Kita biasa melihat pelangi muncul pada waktu siang yang biasanya muncul
semasa matahari bersinar ketika hujan gerimis atau selepas hujan
berhenti.
Tetapi bagaimana pula dengan pelangi pada waktu malam? Mungkin ia
kedengaran pelik, tetapi fenomena unik ini memang benar-benar berlaku
dan dikenali sebagai Moonbow.
Moonbow adalah pelangi yang dihasilkan oleh pantulan, pembiasan dan
penyebaran cahaya dari bulan yang berinteriaksi dengan titisan air hujan
yang turun dari langit.
Sama seperti pelangi di waktu siang, Moonbow terjadi disebabkan oleh
pembiasan cahaya. Pelangi pada waktu siang terjadi kerana pembiasan
cahaya matahari, manakala pelangi yang terjadi pada waktu malam pula
disebabkan oleh pembiasan cahaya bulan.
Pengunjung yang mahu menyaksikan Moonbow.
Moonbow sangat jarang terjadi kerana memerlukan keadaan dan kriteria khusus untuk menyebabkan fenomena itu berlaku.
Masa terbaik untuk melihat Moonbow adalah ketika bulan penuh kerana cahaya yang banyak diperlukan untuk mewujudkan fenomena ini.
Bulan perlu berada pada titik rendah iaitu pada kedudukan disekitar 42
darjah di langit pada waktu malam yang gelap selepas hujan.
Tidak seperti pelangi berwarna-warni yang dihasilkan oleh cahaya
matahari pada waktu siang, Moonbow kelihatan berwarna putih dan kurang
jelas pada mata kasar kita. Ini kerana cahaya bulan terlalu malap untuk
merangsang reseptor kon warna di mata manusia.
Akibatnya, mata manusia sukar untuk membezakan warna dalam Moonbow dan ia sering kelihatan berwarna putih sahaja.
Walau bagaimanapun, warna-warna sebenar Moonbow akan dapat dilihat dalam
gambar yang diambil dengan menggunakan teknik 'Long Exposure'.
Moonbow di Air Terjun Victoria, Afrika.
Selain pembiasan cahaya bulan pada titisan air hujan, cahaya yang
dipantulkan oleh bulan pada percikan air di air terjun juga menghasilkan
Moonbow. Cara terbaik untuk melihat Moonbow pada air terjun adalah
dengan berdiri di antara air terjun dan bulan penuh dibelakang anda.
Lokasi-lokasi air terjun yang selalu berlaku fenomena Moonbow adalah di
Yosemite Falls, California dan Cumberland Falls, Kentucky, Amerika
Syarikat. Selain itu, Moonbow juga sering dilihat di air terjun di
Victoria Falls, Afrika.
Air terjun Yosemite Falls adalah salah satu tempat popular untuk
menyaksikan fenomena ini. Ramai orang akan berkunjung ke Yosemite Falls
setiap tahun untuk melihat dan merakam fenomena unik itu.
Jika bulan penuh muncul dan langit cerah di Yosemite Falls, akan ada
cahaya yang mencukupi untuk menghasilkan pelangi di air terjun tersebut.
Moonbow di Air terjun Yosemite Falls, California.
.
Musim luruh dan musim panas adalah masa yang sangat sesuai untuk
menikmati spektrum cahaya menakjubkan ini di air terjun Yosemite.
Keindahan pelangi itu akan dapat dilihat pada waktu malam hingga
beberapa jam sebelum matahari terbit.
Sementara itu, seorang jurugambar, Charlie Hamilton James yang pernah
merakamkan Moonbow di air terjun Victoria, Afrika, memberitahu bahawa
Moonbow tidak terlalu menarik apabila dilihat dengan mata kasar. Ia
hanya kelihatan seperti lengkungan cahaya berwarna putih yang malap.
Tetapi selepas melihat hasil gambar yang diambil dengan menggunakan
teknik 'Long Exposure' iaitu dengan membiarkan kamera dipasang untuk
masa yang lama akan mendedahkan keindahan sebenar Moonbow.
Dan percayalah, ia adalah pemandangan yang sangat menakjubkan!